Assalamualaikum

Thursday, 23 June 2011

MAAFKAN IBU, SAYANG....

Kunci kereta kuletakkan di meja bersama segala dokumen kerja. Brooch tudung dilonggarkan. Letih yang teramat. Pandangan ku terarah kepada satu-satunya putera hati di sofa. Melihat telatahnya sahaja sudah mampu menghilangkan lelah.
"Ayie.. bangun sayang.. dah solat ke belum ni?", kepala Ayie ku usap lembut sambil mengemaskan comforter yang membaluti tubuhnya. Jam di dinding menunjukkan hampir pukul enam setengah pagi. Tubuh kecil yang meringkuk di atas sofa ruang tamu itu mengeliat kecil.
"Sayang.. kenapa tidur kat sini? Sejuk...", tubuh Ayie cuba ku rangkul. Dia tersedar sambil berpisat menahan kantuk. Mencuka wajahnya.
"Ibu memang tak sayang Ayie! Ibu balik lambat!" Pantas anak kecil itu berlari menaiki anak tangga.
"Ayie...," panggilanku mati. Ayie hilang ke tingkat atas.
'Maafkan ibu...'
Mak Mah yang terdengar suara Ayie segera membasuh tangannya ala kadar. Adunan cucur bilis untuk sarapan pagi itu ditinggalkan seketika.
"Puan dah balik.. Nak saya buatkan air?" tanya Mak Mah setiba di ruang tamu.
"Kan saya cakap, panggil je Hannah..," aku mengukir senyum.
"Tak perlu. Terima kasih Mak Mah, nanti saya buat sendiri.. emm.. Ayie sihat Mak Mah? Tadi dia tidur di sofa.."
Mak Mah mengangguk kecil. "Semalam dia tak mahu makan, nak tunggu Hannah balik katanya"
"Kasihan dia, Mak Mah.. Mak Mah tak bagitahu saya balik lambat?"
Aku melangkah ke dapur, membuka tudung saji. Lauk hanya kelihatan sedikit terusik. Mungkin Mak Mah dan abahnya sahaja yang makan. Ayam goreng kegemaran Ayie masih tersedia dalam pinggan kaca berbunga kecil, tidak seperti selalunya. Pantang ada ayam goreng pasti Ayie meratah habis.
"Sudah, tetapi dia tak dengar. Abah dia pujuk pun dia tak mahu sampai kena teman dia tidur di ruang tamu. Menangis-nangis tak mahu ke bilik", sambung Mak Mah.
Pasti malam tadi Ayie tidur dalam kecewa, sedih dan marah.
Paip sinki kupulas, membasuh tangan.
"Mak Mah berehatlah ya.. biar saya siapkan", adunan cucur bilis kucapai bersama tepung. Tak lupa rencah 'basmalah' diadun bersama. Sikit sahaja sebelum siap untuk digoreng.
"Hannahlah berehat, baru balik. Mari sini Mak Mah siapkan. Kasihan badan tu..", pujuk Mak Mah.
"Mak Mah memang macam ummi saya..", aku tergelak kecil.
Rindu pada ummi tak tertahan lagi. Barulah aku tahu bukannya mudah bekerja dalam masa yang sama perlu menguruskan rumahtangga pula. Ummi memang contoh insan terbaik dalam hidupku. Meski sibuk di pejabat, masanya dengan anak-anak tidak di abai. Malah ummi pula yang 'berebut' dengan pembantu rumah untuk memasak dan menguruskan hal rumahtangga bila dia di rumah.
Berbakti 24 jam sehari.. hebatnya 'ketahanan' seorang wanita muslimah...
'Tak sempurna seorang wanita itu selagi tak mampu menguruskan rumahtangganya dengan baik. Tempat seorang isteri adalah di sisi suami dan tempat seorang ibu adalah di sisi anak-anaknya. Nama, pangkat atau sehebat mana pun kita di tempat kerja langsung tidak bermakna kalau keluarga kita sendiri kucar-kacir tak bahagia'
Pesanan ummi kusemat utuh.
"Bila lagi Ayie nak merasa air tangan saya, Mak Mah.. sikit lagi je nak siap ni..", ujarku bersungguh.
Biarlah sekadar masa yang aku punya di rumah aku peruntukkan sebaiknya untuk mereka. Mak Mah masih di situ mengambil tugas menjerang air. Air panas dicurah ke dalam teko. Minuman pagi kegemaran keluarga dibancuh.
Deruman enjin kereta memecah hening pagi. Serentak aku dan Mak Mah menyambut salam dari muka pintu.
Huluran tangan insan berkopiah dan baju melayu itu kukucup.
"Baru balik?" soalnya sambil mengiringiku ke dapur. Mungkin kerana baju kurung yang kupakai sejak pagi semalam tidak bertukar.
Aku mengangguk.
Memang menjadi kebiasaannya untuk membantu aku dan Mak Mah di dapur usai pulang berjemaah di surau An-Nuur. "Kalau tak tolong buat kerja, tolong tengok pun jadilah," pernah dia berseloroh. Seronok Mak Mah ketawa. Sekali-sekala ada juga dia menjadi chief bersilat di dapur. Boleh tahan hebat.
"Ayie macam mana?" ingatanku tak luput dari memikirkan Ayie. Cucur bilis ku jemput kecil-kecil sebelum disua ke kuali panas.
Mak Mah sudah berlalu ke ruang makan. Menyediakan meja sebelum sarapan pagi dihidang.
"Biasalah kanak-kanak..," tenang suaranya.
Barulah aku tahu mengapa beriya-iya Ayie mahu aku pulang awal semalam. Rupanya, dia mendapat tempat pertama di tadikanya untuk peperiksaan bulan lalu dan mahu berkongsi berita gembira sewaktu makan malam kami sekeluarga.
"Bila surprisenya tak menjadi, tu yang mengamuk sampai ajak naik tidur kat bilik pun tak mahu."
Sesalku menebal. Harapan seorang anak kecil punah.
"Kasihan Ayie... terkadang rasa nak berhenti kerja pun ada...," ujarku lambat-lambat.
Cucur bilis yang baru ku tos dicapainya.
"Bismillahillazi laa yadhurru ma'asmihi syai'un fil ardh wa la fis samaa'ie wahuwas sami'ul 'aleem," sengaja dibaca kuat, mengusik. Kalau-kalau ada mudharat pada cucur tu, tiadalah terkesan padanya nanti.
"Emm.. sedap! Tukar profesion jadi tukang masak pun boleh ni," ujarnya sambil menyengih.
Aku mengeluh perlahan. Sepatutnya aku sebagai ibu yang lebih memberi tumpuan buat Ayie. Bukan Mak Mah atau guru-gurunya.
"Ayie perlukan perhatian seorang ibu...," rendah suaraku.
Sepi.
Dia mengalih tumpu ke arahku. Serius.
"Abang suka keluarga yang boleh berbakti buat ummah seluruhnya, bukan hanya keluarga kecil kita semata-mata. Pasal Ayie, abang akan cuba fahamkan dia, InsyaAllah. Bersabarlah untuk beberapa bulan ja lagi. Lepas ni takdalah hectic sangat dan akan ada lebih masa untuk Ayie. Yang penting, jangan pernah lupa memohon pertolongan dari Dia supaya segalanya berjalan lancar dan terasa mudah.. kita mungkin tak mampu untuk beribadah setaraf sang 'abid. Jadi, bekerjalah seikhlas mungkin demi menunaikan fardhu kifayah, moga-moga Allah mengira ini juga sebagai ibadah di sisi-Nya. Pasti ada hikmah kenapa Allah tetapkan jalan ini buat kita. Anggaplah ini pengorbanan kecil dalam perjuangan Islam," hikmah bicaranya.
Bukan sedikit berita yang sampai di telinga berkenaan keruntuhan rumahtangga sahabat se-profession dengan ku. Segalanya gara-gara jadual kerja yang sibuk dan tak menentu. Makan pakai keluarga langsung hilang cakna. Syukur yang tak terhingga kupanjatkan buat Dia kerana meminjamkan aku pendamping yang sangat memahami. Baik kerjaya mahu diriku yang sangat banyak kelemahan dari sempurna. Dia yang terus-terusan meniup semangat memberi motivasi kala aku hampir berhenti dari jalan ini.
'Moga Allah mengira aku sebagai sayap kiri perjuangan Islam..'
***********************
"Red zone, Doctor! 1st bed," cemas suara jururawat.
Aku tersentak.
Suasana sekitar ku kembali bingar.
Bunyi mesin ventilator bersilih dengan suara orang mengerang kesakitan.

"Robbi yassir wala tu'assir. Robbi tammim bil khair," doa ku penuh mengharap sebelum melangkah ke medan juang.
'Maafkan ibu, Ayie. Redhakan ibu berjuang untukmu, sayang juga buat ummah seluruhnya..'



No comments:

Post a Comment